♥manusia yang berjaya akan memperolehi keuntungan daripada kesilapannya, dan mencuba lagi dengan cara yang lain♥

Followers

kakilike :)

perjalanan berliku menuju kejayaan....


Dalam perjalanan mencari batu permata, seorang pemuda tiba di satu persimpangan yang bercabang tiga. Pemuda itu tidak begitu pasti di antara tiga cabang itu, yang mana harus diambilnya untuk sampai ke tempat yang dipercayai ada batu permata. Dia meninjau di sekitar kawasan itu. Tiba-tiba dia ternampak seorang tua yang sedang berehat di bawah sebatang pokok rendang tidak jauh dari simpang tersebut.

"Baik aku tanya pakcik tu. Kalau dia orang sini, tentu dia tahu jalan nak ke tempat batu permata itu."

"Assalamu'alaikum pakcik. Boleh saya tumpang tanya?" 

"Wa'alaikumussalam. Boleh. Anak nak tanya apa?"

"Saya nak ke tempat batu permata tapi saya tak tahu jalan mana yang harus saya ambil untuk sampai ke sana. Boleh pakcik bagitahu saya?"

Pakcik tua itu tidak menjawab. Dia hanya menunjukkan jarinya ke arah jalan yang pertama. Pemuda itu pun mengucapkan terimakasih lalu menyusuri jalan yang pertama. Tidak lama kemudian dia kembali semula ke persimpangan tersebut. Pakaiannya kotor dicemari lumpur. Orang tua itu masih lagi di situ.

"Pakcik, betul ke jalan yang pakcik suruh saya ambil tu? Teruk sungguh jalan tu, berlopak, berlumpur. Tengok pakaian dan tubuh saya, semua jadi kotor. Cuba pakcik tunjukkan kepada saya jalan yang sebenar untuk sampai ke tempat batu permata itu"

Orang tua itu tidak berkata apa-apa. Dia menudingkan jarinya ke arah jalan yang kedua. Pemuda itu segera beredar dari situ. Dia berharap jalan yang kedua ini akan membawanya ke tempat batu permata tersebut. Tidak lama kemudian dia kembali semula ke situ. Sekarang pakaian dan tubuhnya bukan saja kotor malah koyak rabak dan calar balar disebabkan oleh tusukan duri. Di wajahnya terbayang rasa kecewa.

"Pakcik, jalan kedua itu dipenuhi belukar dan duri. Pakcik yakin ke itu jalan yang betul? Pakcik tengok ni..habis pakaian saya koyak dan badan saya luka. Cuba pakcik bagitahu saya betul-betul jalan yang sebenarnya untuk sampai ke sana."

Pakcik tua itu tetap diam. Kali ini dia menunjukkan ke arah jalan yang ketiga.


"Pakcik yakin itu jalannya? Kalau pakcik berbohong dengan saya, pakcik akan terima akibatnya"

Orang tua itu menganggukkan kepalanya sambil menunjuk ke arah jalan yang ketiga. Pemuda itu segera berlalu dari situ dan mengambil jalan yang ketiga. Tidak lama kemudian, dia kembali semula ke tempat orang tua itu dengan nafas yang tercungap-cungap seperti melarikan diri dari sesuatu.

"Pakcik ni nak bunuh saya ke? Jalan ketiga itu penuh dengan binatang buas. Nasib baik saya sempat selamatkan diri dari dibaham harimau. Kalau tidak, tentu saya dah mati sekarang"


Orang tua itu akhirnya membuka mulut mengeluarkan suara.

"Anak, sebenarnya semua jalan tadi akan membawa anak sampai ke tempat batu permata itu. Anak boleh pilih salah satu samada mengharungi lumpur, semak berduri atau binatang buas. Jika benar anak mahu ke tempat batu permata itu, anak harus berani dan cekal melawan apa saja rintangan yang ada di semua jalan tersebut. Jika tidak, pulang saja dan anak tidak payah bermimpi untuk sampai ke sana"

Pemuda itu ternganga mendengar penjelasan dari orang tua tersebut. Dia menundukkan kepalanya. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk pulang dan membatalkan niatnya untuk pergi ke tempat batu permata itu.

Kejayaan tidak dicapai dengan mudah. Ada harga yang perlu dibayar untuk mencapainya. Hanya orang-orang yang tabah, cekal dan berani akan sanggup menghadapi susah payah mengharungi jalan menuju kejayaan.

No comments:

Post a Comment